Quick Links
 

NSix Tupong Duathlon` jadi acara antarabangsa

NSix Tupong Duathlon` jadi acara antarabangsa

TAHNIAH: Fadillah (tiga kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama NSix Tupong Duathlon bagi kategori terbuka lelaki. Turut kelihatan Fazzrudin (tiga kanan).

Akan direalisasi pada penganjuran tahun depan, dapat sokongan Fadillah

KUCHING: Perlumbaan ‘NSix Tupong Duathlon’ akan dijadikan acara antarabangsa pada penganjuran siri ketiga tahun depan.

Acara ini diperkenalkan buat pertama kalinya pada 2016 yang menyaksikan peserta perlu mengharungi cabaran larian dan berbasikal untuk menamatkan perlumbaan.

Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Seri Fadillah Yusof yang menyokong penuh penganjuran acara ini, berkata ia mampu dijadikan acara bertaraf antarabangsa jika dirancang dengan baik.

“Sebagai mana program perlumbaan lain di Malaysia, saya menyokong penuh acara ‘NSix Tupong Duathlon’ ini untuk diangkat sebagai acara bertaraf antarabangsa.

“Untuk mencapai hasrat ini, penganjur perlu membuat perancangan dari sekarang,” katanya ketika berucap pada penyampaian hadiah kepada pemenang ‘NSix Tupong Duathlon’ semalam.

Program ini merupakan siri kedua dianjurkan di Metro City, Matang Jaya oleh N6 Tupong dan ZASS Event Management.

Terbuka kepada orang ramai, acara ini terbahagi kepada lima kategori, iaitu terbuka lelaki, terbuka wanita, veteran lelaki (40 tahun ke atas), master lelaki (50 tahun ke atas) dan berpasukan.

Acara pelepasan peserta telah dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Acara ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM11,900 dan semua 230 peserta masing-masing diberikan sehelai baju-T dan pingat tamat perlumbaan.

(Taken from Utusan Borneo)